Tuesday, 20 February 2018

TUGASAN 1: ULASAN KRITIKAL
1.    PENDAHULUAN
Pada masa kini, profesion perguruan semakin mencabar apatah lagi menjelang abad ke 21 ini. Perkara ini memberi impak besar kepada tugas guru kerana tuntutan daripada guru lebih berbanding ibu bapa dan masyarakat dalam soal-soal pendidikan murid-murid di sekolah. Semua ini belum lagi digabungkan dengan beban tugas di luar bidang pengajaran bagi mengikuti arus perkembangan semasa pendidikan yang ditransformasikan secara berperingkat. Oleh itu, untuk menjadi seorang guru dan pengurus pendidikan yang baik, seorang guru harus peka dengan perkembangan terkini yang sentiasa mendatang juga sanggup untuk menghadapi proses kepemimpinan, pengurusan, pengelolaan sumber dan pencapaian matlamat pendidikan (Ibrahim Ahmad Bajunid, 1995). Maka, dengan pelaksanaan pelbagai reformasi dalam pendidikan sudah pasti menjadikan peranan dan tanggungjawab para guru menjadi lebih besar, mencabar dan kompleks. Dengan itu, ramai guru berasa amat tertekan kerana tidak mampu menangani tugas dan harapan yang sentiasa berterusan mengalami perubahan. Menurut Girdano (1979), individu tidak mungkin dapat berfungsi dengan berkesan dan produktif jika ia dalam keadaan tertekan. Perasaan tertekan menjadikan seseorang itu tidak rasional, cemas, tegang, tidak dapat memusatkan perhatian kepada kerja dan gagal menikmati rasa gembira atau puas hati terhadap kerja yang dilakukan. Menurut kajian yang dilakukan oleh Institute of Stress di New York, Amerika terdapat 90 peratus daripada lelaki dewasa mengalami stress yang kuat sekurang-kurangnya dua kali seminggu, manakala 25 peratus lagi mengalami stress setiap hari. Berikut merupakan rajah 1 yang menunjukkan peratusan kadar stress mengikut pekerjaan:




Figure 1 Rajah peratusan kadar stres mengikut pekerjaan

                Di Malaysia, persoalan mengenai tekanan di dalam kalangan guru bukan lagi setakat dijadikan bahan kajian, malah sudah menjadi isu dalam media massa. Perkara ini juga dilakukan kajian oleh Kongres Kesatuan Guru-guru Dalam Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (KONGRES) dimana majoriti guru mengeluh dengan tugas-tugas rutin seperti menyediakan perancangan tahunan, pengal, mingguan dan harian (Muhamad, 1995). Pelbagai alasan yang dilontarkan iaitu masalah peribadi, tawaran yang lebih baik, tidak mahu berjauhan dengan keluarga, suasana kerja yang tidak kondusif serta beban tugas yang berat dijadikan sandaran (Borneo Post, 1996). Tekanan kerja di kalangan guru telah menjadi satu isu hingga terdapat banyak kajian dilakukan baik di dalam negeri dan juga luar negeri. Antara kajian tersebut ialah Jolen (2001), Mahyuddin (2001), Jusoh (2001), dan Md Suandi (2008), Flecher dan Payne (1982), Smilansky (1984), Payne dan Furnham (1987), Trendall (1989) serta Naylor (2001). Dalam kajian ini turut menjelas bahawa guru kini dibebani dengan perlakuan yang tidak profesional daripada pihak ibu bapa serta masyarakat yang hanya pandai menunding jari kepada pihak guru semata-mata. Situasi ini akan menyebabkan masyarakat yang bergelar pendidik mengalami tekanan emosi yang sukar ditafsirkan.

2.    ULASAN MENYELURUH
            Dalam kajian yang dilakukan oleh Fadilah Binti Mohd mengenai isu “Stres Dalam Kalangan Guru Sekolah Tunas Bakti Jerantut: Satu Kajian Kes” turut mengkaji bahawa tekanan yang dihadapi oleh guru kian mencabar. Hal ini kerana tugas seorang guru bukan hanya terlibat dalam mengajar kanak-kanak normal malah turut mendidik kanak-kanak istimewa yang memerlukan kesabaran tinggi serta menjadi pengajar bagi pelajar yang mempunyai masalah juvana. Kajian ini telah dilakukan di Sekolah Tunas Bakti yang merupakan institusi pemulihan akhlak yang telah ditubuhkan di bawah Seksyen 65 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 bagi pemulihan dan jagaan bagi kanak-kanak yang terlibat dengan jenayah dan kanak-kanak yang tidak terkawal. Sekolah Tunas Bakti juga menawarkan pelbagai program dari aspek akademik, kokurikulum serta latihan kemahiran vokasional. Program ini diharapkan dapat memberikan peluang kepada pelatih untuk mendapatkan ilmu serta kemahiran yang berkaitan selepas tamat tempoh penahanan.
            Menurut pengkaji juga, tekanan yang dihadapi oleh pihak guru di sekolah ini ialah stress kerja guru dimana berlakunya permintaan yang diamanahkan kepada guru telah menjadi ancaman terhadap harga diri dan kesejahteraan psikologi dan fizikalnya. Mo (1991) mendapati bahawa guru yang mengalami lebih tekanan juga mempunyai tahap burnout yang lebih tinggi. Oleh itu,elemen penting dalam definisi ini adalah persepsi guru terhadap ancaman berdasarkan tiga aspek iaitu permintaan yang dilakukan ke atas seseorang yang bergelar guru, kegagalannya untuk memenuhi permintaan tersebut atau menghadapi kesukaran dalam memenuhi permintaan dan kegagalan ini akan mengancam kesihatan mental dan fizikalnya (Kyriacou dan Sutcliffe, 1978). Berikut adalah antara stress yang dihadapi oleh guru di Sekolah Tunas Bakti:
      i.        Peranan dalam mendidik pelajar yang bermasalah
Tugas sebagai seorang guru bukan senang seperti yang dipandang oleh masyarakat setempat kerana tugas ini merupakan tugas untuk mencorak kehidupan murid sama ada kea rah positif atau negatif. Tugas ini akan menjadi lebih berat sekiranya berhadapan dengan murid yang bermasalah. Hal ini kerana sudah menjadi kebiasaan bahawa murid yang bermasalah ini sukar dikawal oleh guru mahupun ibu bapa mereka. Perkara ini menyumbang kepada tahap stres guru dalam mendidik mereka. Murid yang bermasalah ini juga tidak begitu berminat dengan akademik serta tidak mempunyai motivasi untuk cemerlang dalam kehidupan.
    ii.        Pembentukan peribadi
Dalam sekolah ini juga, guru-guru yang mengajar di Sekolah Tunas Bakti berperanan dalam membentuk keperibadian pelajar di sekolah tersebut. Hal ini kerana pelajar di sekolah ini mempunyai masalah juvana dan sedang menjalani hukuman. Pelajar-pelajar ini juga sedang mengalami unjuran proses kematangan dan proses ini adalah sangat mencabar meskipun dilakukan oleh ibu bapa. Kekangan peranan ini menyumbang kepada stress negatif dalam diri guru yang terpaksa memikirkan cara untuk membaiki tingkah laku pelajar ini. Guru perlu membahagikan masa dan bekerjasama dengan pihak pengurusan sekolah unit Hal Ehwal Murid dalam membentuk kembali disiplin murid agar tidak menimbulkan sebarang masalah negatif.


   iii.        Beban kerja
Berdasarkan sistem pendidikan abad-21 ini, guru perlu merealisasikan hasrat Kementerian Pelajaran Malaysia dengan mengamalkan budaya kerja yang cemerlang dengan garisan panduan. Perkara ini memberi tekanan kepada guru kerana perlu mengikut rentak orang atasan dimana mereka perlu merungkai segala topic isi kandungan sukatan sebagai persediaan untuk menghadapi pengajaran dan pembelajaran bersama pelajar. Guru juga perlu menyediakan senarai nama murid, melengkapkan profolio murid, kehadiran lengkap serta rekod kebersihan dan keceriaan kelas. Peranan guru juga perlu mewujudkan situasi pembelajaran yang kondusif,selamat dan selesa supaya murid berasa seronok semasa menuntut ilmu. Perkara ini membebankan guru kerana perlu membahagikan masa untuk urusan atau perjalanan kehidupan sehariannya.
   iv.        Tahap pendidikan pelatih yang rendah
Dalam kajian pengkaji menyatakan bahawa guru di sekolah Sekolah Tunas Bakti mengalami kesukaran dan mengajar pelatih kerana mereka tidak memiliki motivasi untuk cemerlang dalam akademik.  Mengikut Mohd.Ludin (1990) yang menjalankan kajian bahawa 60% sahaja yang menerima pelajaran tingkatan 1 hingga ke tingkatan 3  manakala yang tidak pernah bersekolah adalah  10% tidak pernah bersekolah serta 15% menerima pendidikan tingkatan 4 hingga 5. Perkara ini menyebabkan guru mengalami perubahan emosi kerana kejayaan pelajarnya adalah tanggungjawabnya. Namun dalam keadaan pelajar yang bermasalah akademik bagi mereka tidak penting dan tidak akan bersemangat untuk cemerlang.
3.    PANDANGAN DAN CADANGAN
Pada pandangan saya, profesion guru kini merupakan satu bidang yang amat mencabar. Hal ini kerana banyak kes yang dilaporkan oleh media massa berkaitan dengan kerjaya seorang guru. Perkara ini banyak menggambarkan perkara yang negative mengenai guru. Justeru itu, guru memang berisiko tinggi mengalami stress yang tinggi ditambah lagi dengan beban kerja yang baru ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.Guru kini perlu menyimpan rekod murid dan prestasi mereka menggunakan teknologi yang kebanyakkan mereka baru pelajari di usia senja. Perkara ini menyumbang kepada stres dalam melaksakan tugas mereka kerana kemahiran mereka kurang. Dalam kajian kes di sebuah sekolah di Sabah dengan tajuk “Prestasi Kerja Guru dan Hubungannya dengan Faktor Beban Tugas,Persekitaran Kerja dan Personal” yang kan dilakukan oleh Siti Nur Fatihah Rusman dari Universiti Malaysia Sabah pada Januari 2018 turut mengatakan bahawa guru perlu memastikan objektif pengajaran dan pembelajaran tercapai (Mohamad Johdi,2007). 
Profesion perguruan adalah profesion yang tidak mempunyai pembahagian masa yang jelas antara masa bekerja dan masa tidak bekerja. Menurut Noriah (1994) keadaan sedemikian boleh mewujudkan tekanan kepada guru-guru. Selye (1956) menyatakan bahawa tekanan yang berpanjangan boleh membawa kepada gangguan emosi di tahap yang berbeza-beza daripada tahap rendah hingga ke tahap serius. Ini akan mewujudkan emosi yang pelbagai seperti bosan, lesu, marah, kecewa dan benci (Muchinsky, 1997). Tugas guru merupakan tugas yang kompleks dan mencabar. Mereka bukan sahaja perlu mengajar, malah perlu melakukan kerja-kerja pengkeranian dan pentadbiran, menjalankan aktiviti kokurikulum dan juga melibatkan diri secara aktif dalam Persatuan Ibu-Bapa dan Guru (Noriah 1994). Disamping kerja-kerja yang dinyatakan, guru juga perlu berinteraksi dengan pelajar-pelajar secara fizikal, dan emosi semasa proses pengajaran dan pembelajaran (Mohd Najib 2000). Kenyataan ini disokong oleh Newton dan Newton (2001) yang mengatakan guru perlu banyak berkomunikasi dan berinteraksi dengan pelajar dalam kelas. Polloway, Patton dan Serna (2001) juga mengakui kepentingan kemahiran sosial bagi guru yang mengajar dan juga melatih pelajar dalam kemahiran sosial.Justeru, kebolehan guru berinteraksi dengan pelajar dipengaruhi oleh keadaan emosi guru.
Mencegah lebih baik daripada merawat merupakan satu perkara yang perlu dilakukan dalam mengatasi masalah stres dalam kalangan guru pada masa kini.  Hal ini kerana guru yang berkualiti dan bebas stress akan meningkatkan produktiviti yang dihasilkan oleh mereka. Antara langkah yang boleh diambil ialah pada tahap pengurusan (perubahan dalam persekitaran sekolah) atau pada peringkat individu (memperkuat resos guru untuk mengawal stres). Banyak intervensi atau pencegahan awal yang boleh diambil dalam sistem sekolah. Salah satunya adalah latihan atau sesi pengenduran yang dilaksanakan untuk peserta meregangkan badan, membuat meditasi, membaca sesuatu yang memberikan inspirasi atau menulis jurnal.
Di samping itu, bengkel mengenai pengurusan masa, program pementoran untuk guru novis, pengurusan stres serta aktiviti peningkatan profesional perlu bagi mencegah guru burnout. Dalam bengkel menguruskan stres bererti latihan untuk membolehkan individu mengawal pemikiran diri, jadual persekitaran, emosi dan cara menangani masalah. Matlamat terakhir adalah suatu kehidupan seimbang, mempunyai masa untuk bekerja, hubungan dan rekreasi serta ketahanan untuk menangani tekanan dan menghadapi cabaran masa depan. Seorang guru itu perlulah meningkatkan kecerdasan emosinya agar mereka dapat mengurangkan stres dan mewujudkan suasana kerja yang kondusif. Guru harus mempunyai kesedaran diri untuk mengenal pasti emosi diri dan impaknya semasa menggunakan rasa hati untuk membimbingnya dalam membuat keputusan. Keseimbangan emosi dan tingkah laku guru perlu untuk menyesuaikannya menghadapi tertentu. Kesedaran sosial juga penting agar guru dapat memahami dan bertindak balas positif terhadap emosi lain. Pengurusan hubungan juga amat penting untuk guru merangsang, mempengaruhi dan berhubungan dengan orang lain selain mengurus konflik dalam kalangan rakan sekerja.
Langkah seterusnya bagi menangani masalah tekanan di kalangan guru melibatkan peranan pihak pentadbir. Misalnya, pihak pentadbir menganjurkan program berkaitan pengurusan tekanan, sama ada dalam bentuk bengkel, kursus ataupun seminar perlu memasukkan strategi berlandaskan agama dalam kandungan atau agenda program. Seterusnya, mewujudkan suasana yang sihat dan harmoni iaitu perhubungan yang baik antara staf, keputusan yang diambil perlulah berdasarkan perbincangan, polisi sekolah yang lengkap dan teratur, guru-guru menerima tindak balas yang positif dan dihargai, pengurangan tugas-tugas pentadbiran sebarang tugas tambahan adalah berdasarkan kepada kemahiran guru tersebut, membina persekitaran kerja yang ceria dan kerjasama yang baik untuk menyelesaikan sebarang masalah yang dihadapi.
 Melalui pendekatan organisasi pula, pentadbir tentu boleh menentukan pemilihan dan penempatan guru-guru. Perpindahan dan pertukaran guru-guru disokong sepenuhnya supaya guru-guru yang ingin bertukar tidak tertekan. Pengetua juga mestilah ubah suai tugas guru dan memberikan taklimat kerja yang mendalam terutama sekali sasaran matlamat. Sebarang keputusan dan perancangan sekolah mestilah dilibatkan kerjasama semua guru di sekolah. Proses menerima dan menapis pendapat dan pandangan guru mungkin terlalu lambat, tetapi ia lebih mudah untuk diterima. Sehubungan itu juga, pentadbir perlu mengubah gaya pentadbiran bersifat autokratik kepada gaya pentadbiran yang lebih mengutamakan pendekatan humanistik atau demokratik.
4.    RUMUSAN
Kesimpulannya, dapatlah dirumuskan bahawa kerjaya dan tugas seorang guru itu adalah amat berat. Tugas dan tanggungjawab guru pada masa yang serba canggih dan mencabar ini bukan hanya sekadar menyampaikan ilmu pengetahuan malah gurulah yang menjadi penjana dan nadi kepada kecemerlangan generasi yang akan datang. Secara mudahnya, tekanan-tekanan yang dialami oleh guru tidak boleh dipandang remeh kerana ianya boleh membawa kesan yang jauh lebih dahsyat kepada kemajuan pendidikan negara amnya dan kepada pembangunan pelajar khasnya kerana mereka bakal menjadi pemimpin pada masa depan. Ternyata, tekanan kerja sememangnya akan mengganggu gaya hidup dan kesejahteraan hidup seseorang insan bergelar guru. Ini seterusnya akan mengganggu prestasi kerja dan outputnya dalam bidang pendidikan yang diceburinya.
 Oleh yang demikian, setiap individu yang bergelar guru juga perlulah sentiasa mempersiapkan diri dengan sentiasa meningkatkan ilmu pengetahuan yang ada mengikut perubahan semasa. Selain itu, seorang guru juga perlulah bijak menangani dan menguruskan setiap bebanan dan masalah yang dihadapi di alam pekerjaan dengan bijaksana agar setiap permasalahan dan bebanan tersebut tidak mengundang kepada masalah tekanan atau stres. Akhir kata, ingatlah bahawa setiap permasalahan itu pasti ada jalan penyelesaiannya. Begitu juga dengan masalah tekanan atau stres yang dialami oleh guru-guru pada masa kini, walaupun kadangkala penyelesaian itu memerlukan pengorbanan. Oleh itu, setiap pihak juga harus memberi sokongan dan membantu mengurangkan beban stres yang dihadapi oleh guru ini dalam menjalani perjalanan pendidik.
Masalah yang disebabkan tekanan emosi sangat ketara di sekolah akibat desakan komitmen yang tinggi daripada guru untuk melaksanakan pelbagai agenda pendidikan setiap hari. Dengan modenisasi, tanggungjawab guru lebih mencabar dan peranan guru juga berubah. Hal ini menyebabkan para guru menghadapi tekanan emosi dan segelintir guru tidak dapat menangani tekanan kerja dengan sebaik mungkin. Ini menunjukkan elemen kecerdasan emosi sangat penting dan boleh memberi kesan yang besar terhadap tekanan dalam kerjaya perguruan. Pengaruh ini secara langsung akan mempengaruhi niat berhenti kerja di kalangan para guru yang merupakan reaksi akhir terhadap bidang kerjaya mereka.Kesimpulannya, guru perlu mengenal pasti kehendak dan kemampuan diri sendiri serta bijak untuk memilih langkah terbaik agar dapat menangani tekanan emosi dengan berkesan. Ini kerana guru adalah individu utama yang dapat memainkan peranan penting untuk meningkatkan keberkesanan dalam melahirkan modal insan dan hasil kerja berkualiti bagi institusi berkenaan.








5.    RUJUKAN

Bibliography

Azizi Hj. Yahaya Nik Diana Hartika Binti Nik Husain . (2006). Tahap Stres Dan Faktor-Faktor yang Mempengaruhi Di Guru Sekolah Di Negeri Johor,. 1-11.
BAKAR, N. H. (2012). Guru lebih stres. Kuala Lumpur: Utusan Online.
Harian, W. S. (2017). Usaha KPM arah tiada pengasingan kelas disambut baik..dapatlah kurangkan stres guru ajar kelas lemah. Kuala Langat: Sinar Harian.
Mohd, F. B. (2016). stress dalam kalangan guru sekolah tunas bakti jerantut. 44-68.
NOOR, F. M. (2011). FAKTOR-FAKTOR PENENTU STRES DALAM KALANGAN GURU-GURU:, 88-105.
Sipon, S. (2008). Stres Kerja Guru: Punca, kesan dan Strategi Daya Tindak. 55.
YuWanjing. (2017, August Thursday). Punca Isu Stres GuRU. Retrieved from http://yuwanjing.blogspot.my/2017/08/punca-punca-isu-stres-guru.html























Sunday, 7 January 2018

pendidikan keselamatan PKE3023E

Tajuk: Isu Konsep Sekolah Selamat Dalam Dasar Pendidikan Negar
a Definisi dan Konsep Sekolah Selamat
Sekolah yang selamat ialah tempat pelajar-pelajar dapat belajar dan guru dapat mengajar dalam suasana yang selesa dan bebas dari persekitaran yang menakutkan. Ia juga merupakan tempat di mana iklim pembelajaran dapat menggalakkan penerimaan semangat dan perlindungan bagi setiap kanak-kanak. (Ronald D. Stephens 1996). School Guide for State of California dalam artikelnya "The Safe School Challenge" mentakrifkan sekolah yang selamat sebagai tempat yang aman di mana pelajar-pelajar dan guru bebas untuk belajar dan mengajar tanpa sebarang ancaman fizikal dan psikologikal. Kunci sekolah yang selamat ialah wujudnya suasana yang mementingkan ramah mesra, persekitaran yang sentiasa memberi sokongan, wujudnya satu garis panduan yang jelas tentang tingkah laku yang bersesuaian dan ia hendaklah adil serta berterusan. (Dick Young, 1999) Kementerian Pelajaran Malaysia dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.6/2000 pula menghuraikan sekolah yang selamat sebagai “Sekolah sentiasa selamat dan bebas daripada insiden-insiden yang tidak diingini seperti murid diugut, diculik, diperkosa, penglibatan dalam dadah, perlakuan ala-gengster dan melibatkan diri dalam kegiatan gangster atau “triad society”.
Sekolah belum cukup selamat sekiranya aspek peraturan dan undang-undang tidak diambil kira. Salleh Buang (1996) menegaskan bahawa sesebuah institusi yang di dalamnya terdapat ahli-ahli yang perlukan perlindungan, keselesaan dan keselamatan, kawalan dari aspek perundangan tidak harus diabaikan. Justeru, sekolah yang selamat ialah sekolah yang sentiasa berusaha memastikan Pelaksanaan Program sekolah selamat telah dilancarkan oleh Kementerian Pendidikan pada tahun 2002 adalah untuk mewujudkan budaya selamat di sekolah dan persekitaran secara berterusan dengan sokongan keluarga dan masyarakat setempat. Pelancaran program ini adalah satu usaha yang bersungguh-sungguh dengan persediaan buku ‘Konsep dan Manual Sekolah Selamat’ kepada semua sekolah. Amalan sekolah selamat walaupun telah ujud sejak dahulu lagi,namun hanya sekarang satu garispanduan yang tersusun diperkenalkan untuk sekolah-sekolah seluruh Malaysia mengikutinya. Namun demikian masyarakat masih digemparkan dengan insiden-insiden yang tidak sepatutnya berlaku dalam kawasan sekolah yang mana dianggap selamat oleh masyarakat umum.
B.  Ciri- Ciri Sekolah Selamat
 Sesebuah sekolah yang dianggap selamat adalah diharapkan mempunyai ciri-ciri berikut:-
 • Sensitif dan rasa hormat kepada warga sekolah.
 • Bebas dari sebarang ganguan
• Kebolehan menjangka tingkahlaku pelajar dengan jelas
• Dasar disiplin yang konsisiten
• Pelajar mencintai sekolah
 • Menyokong dan mengiktiraf tingkahlaku positif
 • Proaktif tentang prosedur-prosedur keselamatan sekolah
• Warga sekolah mempunyai kesedaran komuniti terhadap kawasan sekolah
• Respon segera terhadap kecemasan
• Penyenggaraan yang menepati masa
• Amalan kebersihan
 • Bilik darjah yang bersih dan tersusun
 Sesebuah sekolah yang selamat adalah suatu tempat di mana wujudnya hubungan sosial yang rapat di kalangan ahli sekolah. Komunikasi antara peribadi yang berkesan di kalangan pelajar dan di kalangan kakitangan sekolah serta di antara kedua-dua kelompok itu adalah satu faktor yang menyumbang kepada keselamatan sekolah. Latar belakang etnik, budaya dan agama pelajar mesti diakui dan dihormati supaya para pelajar tidak diejek dan dipinggirkan daripada aliran utama budaya sekolah. Pelajar dan kakitangan sekolah berkongsi kepercayaan bahawa mereka adalah selamat sama ada dari segi fizikal, sosial mahupun secara psikologi dan mereka sebenarnya mendapat sokongan lain-lain ahli sekolah apabila tiba masa diperlukan.
 Semangat sekolah kita tanggungjawab kita bersama yang tinggi merupakan indikator sesebuah sekolah mempunyai ciri-ciri keselamatan. Perasaan kekitaan ini merupakan intipati penting ke arah pembentukan konsep sekolah yang selamat dalam konteks pendidikan di Malaysia. Sekolah yang selamat mewujudkan suasana masyarakat penyayang dengan mengutamakan nilai-nilai kemanusiaan yang menghargai dan menghormati harga diri. Para pelajar merupakan tulang belakang dan berada di barisan hadapan serta merupakan golongan yang amat penting bagi generasi kepimpinan akan datang. Oleh itu mereka harus dididik dengan amalan sihat dan menghormati orang yang lebih tua daripada mereka. Mereka juga dipupuk untuk bersikap bertimbang rasa dan sedia menghulurkan pertolongan apabila diperlukan oleh masyarakat tanpa mengira bangsa dan warna kulit. Dengan itu akan dapat diwujudkan masyarakat penyayang dengan lebih nyata lagi.
 RASIONAL
 • Dalam banyak keadaan ianya kerap diabaikan dan jarang dijadikan asas utama pertimbangan.
 • Warga sekolah dewasa ini terdedah dengan isu-isu keselamatan fizikal sekolah, keselamatan sosial, emosi dan teknikal sekolah. Oleh itu polisi yang berterusan perlu diwujudkan.
• Kurang kerjasama daripada keluarga dan masyarakat dengan institusi pendidikan dari segi keselamatan
. • Keupayaan sekolah dalam menangani isu-isu keselamatan amat terbatas, tanpa sokongan keluarga dan komuniti.
 Isu Keselamatan
Dalam memperkatakan konsep sekolah selamat, seringkali pihak sekolah dicabar sejauh manakah sekolah sebagai tempat yang mendidik pelajar selamat untuk pelajar. Insiden-insiden yang berlaku dalam kawasan sekolah yang mengakibatkan kecederaan dan yang lebih serius lagi kematian telah menggemparkan rakyat Malaysia dan berasa bimbang tentang keselamatan anak-anak mereka dalam sekolah, Beberapa kejadian ‘membelasah’ yang tercetus antara pelajar, khususnya di sekolah menengah berasrama, hingga mengakibatkan kecederaan serius ternyata bukan lagi boleh dipandang ringan. Kecederaan Mohd Hafizi Jumhari, 16, pelajar kursus Kejuruteraan Mekanikal di Sekolah Menengah Teknik Batu Pahat, yang dilaporkan sehingga terpaksa dibuang buah pinggang kirinya selepas dipercayai dibelasah sekumpulan pelajar senior di asrama, boleh dijadikan pembuka mata terhadap ancaman luar jangkaan di sekolah. Adakah dengan kes gejala disiplin sedemikian secara tidak langsung menunjukkan kegagalan Program Sekolah Selamat yang masih baru digerakkan?
 Statistik Menurut kajian yang telah dijalankan oleh Varathan (2001), pada tahun 1977 banyak kes yang keluar dalam akhbar mengenai kesalahan yang dilakukan oleh pelajar-pelajar sekolah seperti peras ugut, pelajar terlibat dalam kongsi gelap, pelajar sepak guru, dan samseng sekolah sebagai ditahap serius serta bilangan yang ditahan pula adalah seramai 1719 orang kerana melakukan pelbagai jenayah. Menurut laporan disiplin pelajar sekolah pula , menjelang tahun 1995 terdapat 8197 buah sekolah di Malaysia di mana sebanyak 6865 adalah sekolah rendah dan selebihnya sekolah menengah. Di antara kesalahan yang paling banyak dilakukan oleh pelajar ialah jenayah (23.45 %), kurang sopan (20.37 %) dan ponteng (17.17 %). Kesalahan lain yang dilakukan ialah salah laku, tidak jujur, kekemasan diri serta tidak pentingkan masa. Pada tahun 1995 juga didapati 15.63 % atau seramai 136 904 orang pelajar sekolah menengah terlibat dalam masalah disiplin di mana pelajar-pelajar tingkatan tiga merupakan golongan yang paling ramai melakukan kesalahan . Jadual 1: Kes Pelajar Yang Terlibat Aktiviti Gengster dan Membakar Premis Sekolah Jenis Kes 1997 1998 1999 Kes Samseng 107 77 85 Membakar Premis Sekolah 6 19 10 Statistik Polis Diraja Malaysia pada tahun 2007 merekodkan sebanyak 1,837 kes jenayah dan seramai 3,383 pelajar ditahan. Pada tahun 2008 pula bilangan ini meningkat kepada 2,218 kes dan 3,725 pelajar ditahan. Kajian Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia dengan kerjasama Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Malaysia, 48.1 peratus samseng jalanan berpunca akibat kebosanan, 38 peratus bertujuan mengisi masa lapang dan 27.8 peratus dipengaruhi kawan. Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia melaporkan seramai 295 pelajar terbabit dalam pelbagai jenayah sepanjang tempoh dua bulan pertama tahun ini. Dapatan kajian Universiti Malaya mendedahkan masalah disiplin utama di sekolah adalah kecurian, buli, pergaduhan dan gangsterisme.(Sumber: Berita Harian) Dari laporan SSDM Seramai 48 pelajar sekolah rendah yang dibuang sekolah sejak tahun 2004 hingga penghujung Mac 2009. Manakala 5,932 pelajar sekolah menengah telah dibuang sekolah bagi tempoh yang sama. (Utusan Malaysia Online) Segala maklumat yang dipaparkan ini menunjukkan pada kita bahawa sahsia pelajar pada ketika ini adalah pada peringkat yang membimbangkan dan sekolah selamat yang dirangka oleh Kementerian Pendidikan Malaysia terus dipersoalkan keberkesanannya. Masalah Pelaksanaan Pendidikan memainkan peranan penting dalam usaha membangunkan modal insan yang mempunyai jati diri yang kukuh, berketerampilan, berkeperibadian mulia, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi bagi mengisi keperluan negara maju 2020. Modal insan yang ingin dihasilkan perlu mampu untuk berfikir secara kritis dan kreatif, berkemahiran menyelesaikan masalah, berkeupayaan mencipta peluang-peluang baru, mempunyai ketahanan serta kebolehan untuk berhadapan dengan persekitaran dunia global yang sering berubah-ubah. Tugas KPM adalah untuk menyediakan generasi muda Malaysia dengan seluas-luas peluang bagi memperkembangkan potensi diri, melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran dan membentuk ciri-ciri keperibadian dan perspektif hidup yang membolehkan mereka berjaya dalam kehidupan dan mampu memajukan lagi negara di mata dunia, selari dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan(PIPP). Sekolah yang selamat akan memastikan pemerolehan ilmu yang menjurus kepada penyediaan modal insan yang berkualiti dan berdaya saing. Peracangan kerajaan untuk melahirkan modal insan yang bersahsia tinggi disamping kemahiran untuk memperkembangkan potensi diri perlu dialu-alukan. Banyak negara sedang membangun beranggapan bahawa pembangunan negara dapat dicapai dengan memajukan bidang pendidikan. Ia dikatakan sebagai alat yang boleh menjana perubahan dalam masyarakat dan sebahagian daripada polisi sekolah selamat. Di sekolah, disiplin menjadi satu kawalan sosial bagi mewujudkan suasana tenteram supaya proses pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan teratur dan lancar. Bagi masyarakat di luar sekolah, disiplin adalah asas penting bagi membentuk kerukunan hidup selaras dengan norma, nilai dan aspirasi negara. Disiplin memainkan peranan yang penting ke arah pembentukan sahsiah para pelajar. Ia adalah salah satu komponen penting dalam sistem persekolahan yang berkait rapat berkenaan tatatertib, tatasusila, keadaan, akhlak dan kesopanan. Sekolah yang selamat untuk menuntut ilmu akan mempunyai disiplin diri pelajar yang tinggi. Namun pada masa yang sama polisi kerajaan yang tidak sungguh-sungguh dalam menangani isu-isu keselamatan yang semakin meningkat di sekolah-sekolah jelas menuju ke jalan buntu walaupun pelbagai usaha dan tenaga dicurahkan. Kuasa Guru ‘Empowerment’ para guru yang disekat dalam menangani disiplin pelajar merupakan satu kesilapan besar yang telah dilakukan oleh Kementerian Pendidikan dimana kerajaan telah lebih mengutamakan pendekatan yang mesra dengan pelajar diperkenalkan bagi meningkatkan perkembangan sahsia pelajar sekolah . Penggunaan ‘psychology’ dalam menangani disiplin pelajar sekolah sememangnya berkesan pada segolongan pelajar tertentu sahaja. Perkara ini mengajak kita merenung kembali istilah kemenjadian murid yang berada di sesebuah sekolah. Teori sekolah berkesan mengatakan bahawa, sesebuah sekolah yang berkesan berpunca dari pelajar-pelajar yang bersahsia tinggi dan berdisiplin. Menurut George Nicholson (1985) menyatakan untuk mewujudkan sekolah yang selamat, kita mestilah mewujudkan sekolah yang berkesan. Terdapat perhubungan yang signifikan antara sekolah yang selamat dengan kecemerlangan dalam pendidikan. Sekolah yang berkesan mestilah selamat dan sebaliknya sekolah yang selamat ialah dengan cara menjadikan sekolah itu efektif. keselamatan, ketidakhadiran pelajar, pengurusan konflik dan kurikulum. Hal ini berkait rapat dengan kemenjadian pelajar yang merupakan satu faktor yang akan menentukan keberkesanan sekolah. Oleh yang demikian kaedah yang di gunakan di sekolah-sekolah yang mempunyai pelajar bersahsia baik tidak semestinya boleh dilaksanakan di sekolah sekolah yang kebanyakan pelajar yang mempunyai sahsia kurang memuaskan. Pendekatan kokurikulum Pendekatan yang lebih menumpukan peraturan yang ketat disamping memberi ganjaran yang setimpal dengan perubahan sikap pelajar yang konsisten dapat menunjukkan perubahan dalam diri pelajar yang bermasalah. Contoh nya penglibatan pelajar dalam aktiviti amal dalam kokurikulum dapat mendedahkan pelajar kepada pelbagai isu-isu semasa dan peluang seperti ini dapat memberi kesedaran kepada pelajar kearah perkembangan modal insan yang diharapkan. Pelaksanaan kokurikulum yang lebih mengutamakan aktiviti dalam sekolah telah ternyata tidak memberi kesan kepada pelajar dari segi perkembangan sahsia pelajar dalam jangkamasa mereka berada di sekolah. Walaupun aktiviti luaran dianjurkan oleh sekolah, namun pelaksanaannya tidak konsisten dan seringkali berbentuk lawatan untuk menambah ilmu sahaja. Program kokurikulum hendaklah dirancang supaya pelajar sentiasa terlibat dengan aktiviti khidmat masyarakat, di mana pendekatan ini bukan sahaja merapatkan pelajar dengan masyarakat, tetapi yang lebih penting, memberi pengalaman hidup dan realiti sebenar hidup bermasyarakat dalam konteks Malaysia. Dengan pendekatan ini disiplin pelajar yang semakin merosot dapat dipulihkan apabila pelajar yang terdiri dari berbilang bangsa berpeluang berganding bahu dalam menyelesaikan masalah dan tugasan yang perlu mereka laksanakan dalam masyarakat mereka sendiri. Pembentukan pasukan unit beruniform yang yang memberatkan penyertaan sesuatu ethnik sahaja harus dielakkan demi untuk mengelakkan perpecahan masyarakat sekolah. Tanpa disedari kita sendiri telah menyediakan tapak untuk mengasingkan pelajar-pelajar mengikut kaum dalam aktiviti sekolah yang mana bercanggah dengan falsafah pendidikan negara. Polisi kerajaan Polisi-polisi kerajaan yang mengutamakan perpaduan kaum seringkali tidak mendapat pemantauan yang cekap dan konsisten oleh kerajaan pada peringkat institusi dan jabatan. Sejauhmanakah komposisi kaum diutamakan dalam sektor kerajaan dan swasta adalah satu perkara yang jelas boleh dipertikaikan. Budaya yang ujud ditempat kerja tidak memperlihatkan budaya Malaysia yang sebenar sehingga semangat mempertahankan ethnik masing-masing terus memuncak tanpa mengambilkira hala tuju kita yang sebenar. Jelas kepada kita bahawa sistem pendidikan sekolah memainkan peranan yang penting dalam mengujudkan modal insan yang berjaya dan berkemahiran tinggi dan mempunyai semangat Malaysia yang tulin. Namun demikian ternyata sistem persekolahan gagal menghasilkan pelajar-pelajar yang mempunyai sikap kemanusian yang sejati dan sebaliknya mengejar kelulusan dan kebendaan semata-mata. Maka adakah sekolah merupakan sebuah tempat yang selamat pada ketika ini dalam menghasilkan modal insan yang berwawasan. Walaupun sekolah dan institusi pengajian menghasilkan pelajar-pelajar yang berjaya dalam pelbagai bidang dengan cemerlang namun pembentukan sahsia manusia telah terpencong jauh. Cadangan dan pandangan Dalam usaha kita mengujudkan sekolah selamat yang mempunyai ciri-ciri yang telah dinyatakan sebelum ini, adalah wajar pagi semua pihak yang bertanggungjawab mengutamakan perpaduan kaum dan semangat Satu Malaysia bermula dari bangku sekolah. Persekolahan di Malaysia yang lebih memberi perhatian kepada kehendak pendidikan ethnik masing masing perlu dihapuskan dengan mengadakan sistem sekolah yang baru iaitu Sekolah Pengajian Rendah Malaysia dan Sekolah Pengajian Menengah Malaysia. Dalam sistem persekolahan ini semua matapelajaran yang perlu dikekalkan dan ditambah dengan matapelajaran Bahasa Cina dan Tamil sebagai tambahan kepada semua pelajar peringkat rendah mahupun menengah. Proses pembentukan sekolah ini akan menggabungkan ketiga-tiga peringkat sekolah yang ujud pada masa ini(SK, SJKC dan SJKT) sebagai satu sekolah yang diberi nama Sekolah Malaysia. Matapelajaran bahasa ibunda setiap kaum akan tetap dipertahankan dalam sistem baru ini dengan memberi peluang dan kebebasan kepada pelajar dari Melayu, Cina dan India mempelajari Bahasa Cina, Tamil dan juga Jawi dan Bahasa Arab sebagai elektif. Ini dapat menyaksikan perkembangan pendidikan yang sama taraf, sihat dan saling memahami antara satu sama lain dibawah satu bumbung. Dengan adanya sekolah Malaysia yang terdiri dari murid dari semua lapisan masyarakat, kita dapat membentuk semangat Satu Malaysia dari peringkat awal lagi kanak-kanak. Usaha ini memerlukan kajian yang teliti kerana memerlukan penambahan waktu persekolahan serta peningkatan dalam kemudahan sekolah, rombakan tenaga pengajar yang seimbang dan kakitangan sokongan. Walaubagaimanapun ini merupakan satu cadangan yang boleh diuji keberkesanannya terlebih dahulu demi untuk kepentingan masa depan negara. Kesimpulan Isu sekolah selamat dalam sistem pendidikan Malaysia dari segi pelaksanaan jelas terdapat banyak kelemahan disebabkan kekurangan sumber dan pemantauan yang rapi dan konsisten. Sekolah selamat bukan sahaja terumpu kepada soal fizikal bangunan dan prasarana sekolah tetapi harus memberi pemberatan kepada pembentukan sahsia pelajar melalui disiplin yang mantap di peringkat rendah dan menengah. Di samping itu perubahan perlu dilakukan untuk mengembalikan semula semangat Malaysia yang sejati dikalangan pelajar-pelajar yang terdiri dari berbilang kaum supaya konsep Satu Malaysia menjadi satu realiti yang dapat dibanggakan. Rujukan 1 Omardin Ashaari, (1996). Pengurusan Sekolah - Suatu Pandangan Lengkap. Kuala Lumpur : Utusan Publications 2 Ibrahim Saad,(1982). Isu Pendidikan di Malaysia. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. 3 Hussein Mahmood (1993). “Kepemimpinan dan Keberkesanan Sekolah”. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka. 4 Becker, G. S. (1964). Human Capital. New York: National Bureau of Economic Research. 5 National Education Association (1996). Safe School Manual. NEA: United States. Hlm.3 6 Malaysia. (1990). Laporan disiplin pelajar sekolah Malaysia.Kuala Lumpur: Kementerian Pelajaran Malaysia. 7 http://www.weber.k12.ut.us/Policies/Safeskul.htm. Safe Schools Policy 5600. 8 http://www.ncrel.org/sdrs/areas/issues/envrnmnt/drugfree/sa2safes.htm. Safe-School Plan 9 http://gegar.wordpress.com/2009/06/27/38/